Kenapa Fitnah Dajjal itu bahaya kepada
Islam ?
Dajjal
seperti yang digambarkan di dalam hadis ialah seorang lelaki yang buta sebelah
matanya dan tertulis di antara kedua matanya itu perkataan kafir. Mendengar
fizikalnya seperti ini pasti ramai yang tertanya-tanya apakah bahayanya Dajjal
kepada umat Islam ?
Bukankah
semua orang pasti sudah tahu akan kesesatannya dan mengenal tanda-tandanya ?
Jawapannya
ialah ramai orang sebenarnya jahil dan memandang rendah kepada fitnah Dajjal
serta tidak mengetahui betapa bahayanya Dajjal kepada manusia dan tidak pula
bersiap sedia untuk menghadapi kebangkitan dan fitnahnya.
Fitnah
Dajjal disebut oleh nabi salallahualaihiwassalam sebagai fitnah yang terbesar
akan menimpa manusia. Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda
(yang bermaksud) : “Sejak penciptaan Adam sehinggalah terjadinya kiamat tidak
ada perkara lain yang lebih besar dari Dajjal.” (Hadis riwayat Muslim)
Di
dalam riwayat yang lain, Abdullah Ibn Umar ra berkata rasulullah
salallahualaihiwassalam bersabda : “Aku sungguh-sungguh berwasiat agar kamu
semua berhati-hati terhadapnya. Tidak ada seorang nabi pun yang tidak
memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal namun aku akan memberitahu kalian
tentang sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh seorang nabi pun sebelumku
kepada kaumnya iaitu bahawa Dajjal itu buta sebelah matanya dan Allah itu
tidaklah buta sebelah mata. (Hadis riwayat Bukhari)
Berapa
ramai orang yang membaca hadis-hadis seperti ini tetapi mereka melaluinya
seperti tidak mendapati apa-apa bahaya dan merasa terancam olehnya. Kata mereka
sudah banyak orang yang mengaku nabi sejak dari zaman awal Islam. Sudah ramai
tokoh-tokoh palsu, ajaran sesat dan kepala pendusta agama yang membawa ajaran
ganjil ini yang telah berjaya dihapuskan dan beranggapan Dajjal ini akan muncul
seperti golongan sesat, ahli bid’ah dan golongan menyeleweng yang lain serta
berada sebaris dengan tokoh-tokoh pemalsu agama seperti Ayah Pin, Qadiani dan
nabi palsu lainnya.
Oh
mereka itu ternyata silap sama sekali !
Dajjal
itu kelasnya bukanlah setaraf dengan nabi palsu atau wali-wali keramat dan tok
guru yang dapat ditangkap dan dipenjarakan.
Dajjal
itu bahkan mengaku dirinya sebagai tuhan dan mempunyai pelbagai keajaiban dan
kekuatan yang tidak dapat dibayangkan !
Dajjal
itu fitnahnya ialah kesyirikkan global dan kehancuran dunia serta mengangkat
kekufuran dan menyeliputi seluruh alam dengan kepalsuan dan kebathilan.
Lawan Dajjal
itu pula bukanlah seorang polis agama atau Kadi dan mufti sebaliknya seorang
rasul khas yang ditugaskan secara khusus untuk memerangi Dajjal di akhir zaman.
Nabi
Isa alaihisalam yang kini berada di sisi Allah SWT.
Firman
Allah SWT : “dan kerana ucapan mereka: "Sesungguhnya kami telah membunuh
Al Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah, padahal mereka tidak membunuhnya dan
tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang
diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih
paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh
itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali
mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka
bunuh itu adalah Isa. Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa
kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa :
157-158)
Jadi
masihkah anda mampu memandang rendah ?
Di
dalam sebuah hadis dari jalan Abu Umamah ra bahawa nabi salallahualaihiwassalam
diriwayatkan bersabda : “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya sejak Allah
memperbanyakkan keturunan Adam itu tidak adalah fitnah di atas muka bumi ini
yang lebih besar selain fitnah Dajjal. Dan Allah azza wa jalla tidaklah
mengutuskan seorang nabi pun kecuali mereka memperingatkan kaumnya tentang
bahaya Dajjal. Aku ialah nabi yang terakhir dan kamua semua pula adalah umat
yang terakhir. Sesungguhnya Dajjal itu pastilah akan muncul di tengah-tengah
kamu semua.”(hadis riwayat Ibn Majah, Ibn Khuzaimah dan Al-Hakim di dalam
Mustadrak)
Jika
para rasul di setiap zaman pun merasa takut dan memperingatkan bahayanya
Dajjal serta nabi Muhammad salallahualaihiwassalam sendiri berasa bimbang dan
sentiasa berpesan kepada para sahabatnya tentang fitnah lelaki buta ini maka
apakah alasan dan puncanya yang menyebabkan anda tidak berasa bimbang ?
Hafal
10 ayat Surah Al-Kahfi halau Dajjal
Diriwayatkan
Nabi salallahualaihiwassalam bersabda : “Barangsiapa yang menghafaz 10 ayat
yang awal dari surah Al-Kahfi akan di pelihara dan di selamatkannya dari fitnah
Dajjal.” (hadis riwayat Muslim)
Rupa-rupanya
budaya Melayu baca Al-quran untuk menghalau hantu masih menebal di dalam minda.
Amalan membaca Yassin malam Jumaat yang dianggap dapat menyelesaikan masalah,
seperti membuat air penawar untuk anak menduduki peperiksaan dan mencari
siapakah pencuri dalam kampong atau asrama masih bersarang di minda orang
Melayu.
Firman
Allah SWT : “Dan apabila kamu membaca Al Quran nescaya Kami akan adakan di
antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat itu
suatu dinding yang tertutup.” (Al-Isra : 45)
Patutlah
umat Islam kebanyakkannya tidak berasa bimbang dengan fitnah Dajjal kerana
mereka menyangka kononnya mereka sudah mempunyai tangkal azimat berupa
ayat-ayat Al-Kahfi buat menakut-nakutkan Dajjal.
Nyah
kau dari sini ! Aku bacakan surah Al-Kahfi nanti !
Agaknya
mungkin itulah dialog yang mereka rancang untuk gunakan apabila berhadapan
dengan Dajjal nanti.
Jika
begitu mudah menghalau Dajjal maka tidak perlulah para rasul dari zaman
berzaman berpesan dan memperingatkan umatnya tentang bahaya Dajjal.
Bahkan di
dalam sebuah hadis dari jalan Imran bin Hussain ra bahawa rasulullah
salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Siapa yang mendengar Dajjal
hendaklah dia menjauhinya. Demi Allah, ada seorang lelaki yang datang kepadanya
dengan penuh yakin dirinya sebagai seorang mukmin namun ternyata akhirnya
lelaki itu kemudian menjadi pengikut Dajjal kerana tipu daya yang
dilakukannya.” (hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Bahayanya
Dajjal itu terletak pada tipu-dayanya !
Musibah
dan fitnah yang menimpa umat Islam akibat dari kedatangan Dajjal ialah pada
aqidah dan kehidupan beragama mereka yang tergugat dengan sistem dan nilai yang
dibawa oleh Dajjal.
Bermula
dari Rasul yang awal, Nabi Nuh Alaihissalam sehinggalah kepada nabi Muhammad
Salallahualaihiwassalam semuanya membawa tauhid dan menyeru manusia kepada
Allah SWT serta mengajak supaya menjauhi thaghut iaitu syirik dan kebathilan.
Bahayanya
fitnah Dajjal itu adalah lebih besar dari kebahayaan syirik dan kefasikan yang
pernah terjadi pada umat-umat terdahulu.
Ini
kerana melalui tauhid dan Islam yang dibawa oleh setiap Rasul, manusia yang
berakal dan waras akan mampu berfikir dengan kebijaksanaan mereka untuk memilih
deen Allah dan menerima Islam sebagai salah satu cara hidup.
Hanya
sahaja ianya tidak begitu mudah berlaku dalam sejarah para rasul terdahulu
disebabkan oleh pertentangan golongan tua dan adat jahiliyyah mereka yang ketat
dan kerana keterikatan mereka dengan peninggalan agama nenek moyang dan sikap
taklid buta.
Namun
secara umumnya apabila golongan tua dan ketua-ketua kufur ini telah ditewaskan
dalam peperangan atau meninggal dunia maka kaum muda dan generasi baru mereka
begitu mudah menerima Islam.
Hal ini
disebabkan kesyirikkan dan kebathilan itu ternyata suatu kekotoran dan cara
hidup mereka adalah amat buruk.
Kufur
itu buruk apabila mereka menyembah tuhan yang banyak dan berselisih.
Zina
itu juga buruk apabila mereka didatangi dengan pelbagai penyakit dan menjadi
resah oleh keturunan yang tercemar.
Penipuan
dalam timbangan serta riba juga adalah buruk kerana mereka dianaiyai dan selalu
ditindas oleh orang yang lebih bijak dan lebih mempunyai kelebihan ekonomi dan
yang lemah terus diperhambakan.
Apabila
datangnya Islam maka sudah tentu masyarakat Jahiliyyah ini berbodong-bondong
mahu masuk ke dalam agama ini demi mengharap kehidupan dan kebaikan yang jelas
ketara berbanding amalan syirik dan kehidupan tanpa syariat.
Firman
Allah SWT : “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu
lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong.” (An-Nasr : 1-2)
Tetapi
ajaran dan fitnah Dajjal ini lebih dahsyat !
Fitnah
Dajjal ialah apabila Dia membawa ajaran dan sistem nilai serta cara hidup yang
dapat ditonjolkan sebagai atau kelihatan seolah-olah lebih baik dari sistem
Islam.
Firman
Allah SWT : “Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan
acuan Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan hanya
kepada-Nya-lah kami menyembah.” (Al-baqarah : 138)
Ajaran
Dajjal seolah-olah satu bid’ah (penambahan) dan pelengkap sehingga manusia
merasa sayang untuk tidak menggunakannya dan merasa rugi jika tidak menerima
apa yang dibawa oleh Dajjal kerana ianya kelihatan lebih baik dari Deen Allah
dan lebih bagus serta lebih sesuai untuk diamalkan dan dilaksanakan di atas
muka bumi ini dari syariat Allah SWT.
Firman
Allah SWT : “Katakanlah: "Tidaklah sama yang buruk dengan yang baik,
meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah
wahai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keuntungan." (Al-Maidah
: 100)
Itulah
bahaya paling besar Dajjal ke atas manusia !
Apabila
umat Islam selama ini beraqidah dengan Al-Quran dan As-sunnah maka Dajjal
membawa sistem pemikiran dan keyakinan berasaskan realiti semasa dan fakta
serta mengajak umat Islam untuk berpindah dari kitab Allah dan Sunnah rasul-Nya
kepada faham baru yang kelihatan seolah-olah lebih baik dan lebih menyesuai
dengan zaman dan tuntutan semasa.
Demikian
juga di dalam perihal ibadah, solat, puasa, zakat dan haji serta
amalan-amalan agama yang lain semuanya akan menerima pengaruh Dajjal sehingga
seolah-olah kedatangan Dajjal itu merupakan suatu rahmat dan kebaikan yang
melengkapkan Deen Islam yang masih kurang dan tidak lengkap.
Apabila
Islam mengajar manusia tentang hukum-hakam dan peraturan jenayah serta
undang-undang maka Dajjal pun membawa sistem peraturan dan undang-undangnya
yang kemudian diterima serta dipakai di seluruh dunia dengan anggapan ianya
lebih adil dan bertimbang rasa dari undang-undang Islam.
Begitu
juga dengan pemerintahan, politik dan sebagainya. Manusia pasti akan terpedaya
dengan sistem dan cara hidup Dajjal yang mengubah sistem nilai dan fokus umat
Islam daripada mempertuhankan Allah SWT perlahan-lahan bertukar kepada
mempertuhankan kekuasaan Dajjal.
Dari
syura kepada demokrasi, dari ekonomi berteraskan kebajikan dan usaha kepada
penindasan riba dan kapitalis. Dari sistem undang-undang syariah kepada
peraturan sivil dan perlembagaan Negara. Perlahan-lahan idea Dajjal berjalan
dan bergerak masuk ke dalam kehidupan umat Islam.
Siapakah
yang dapat menyelamatkan diri dari Dajjal ?
Firman
Allah yang bermaksud : “Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau
telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang
baik (perbuatan ma'siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka
semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (ikhlas) di antara
mereka." (Al-Hijr : 39-40)
Anda
mungkin dapat menyelamatkan diri anda daripada Dajjal jika sekarang ini pun
anda masih seorang Muslim dan mukmin yang kuat bertawakal dan hanya yakin
kepada Allah SWT. Maksudnya anda bukanlah ahli MLM, atau peminat setia kelab
rahsia tarikh lahir dan pelangan dukun dan bomoh.
Ini
kerana Dajjal berkuasa meramal dan mendapat pertolongan Syaitan serta mampu melakukan
hal-hal yang luar biasa seperti menyembuhkan orang yang sakit, memanggil dan
menahan hujan serta pelbagai lagi keajaiban.
Jika
bomoh patah yang menggunakan jin pun orang sanggup percaya demi terbelit oleh
tipuan syaitan yang menggunakan ayat keramat berbunyi : “Apa salahnya kita
mencuba berikhtiar saja, mana tahu kalau-kalau sembuh.” Bayangkan jika Dajjal
yang muncul dan sememangnya mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti
kanser, buah pinggang, kencing manis dan jantung ??
Siapakah
yang dapat menolak ajakan dan godaan Dajjal ?
Orang
kita sanggup berbuat apa sahaja demi sembuh dari sakit walaupun berjumpa bomoh
yang jelas diharamkan oleh Islam inikan pula Dajjal yang datang dengan tipudaya
dan kemampuan yang lebih dahsyat.
Di
dalam hadis juga menyebutkan bahawa Dajjal berupaya mendatangkan rezeki dan
kekayaan serta hasil bumi kepada kaum yang beriman dengannya dan menarik serta
menahan rezeki kepada golongan yang mengingkari ajakannya.
Si
Dajjal ini selain dari tipudaya yang berupa magik dan keajaiban dia juga mampu
menghidupkan orang yang sudah mati serta boleh mendatangkan syurga dan neraka
sehingga mengabui mata manusia bahawa tidak syak lagi dia inilah tuhan yang
sebenar.
Nah,
bahaya yang diungkapkan oleh nabi Salallahualaihiwassalam bukanlah bahaya
fizikal dan badan tetapi jiwa dan agama yang bakal dimusnahkan oleh Dajjal
apabila tiba fitnahnya kepada kemuncak di akhir zaman.
Sesungguhnya
Dajjal itu tidaklah berkuasa tetapi yang berkuasa itu adalah Allah SWT. Bahkan
segala keajaiban Dajjal adalah dari Allah jua sebagai ujian kepada manusia
untuk melihat siapakah yang benar-benar beriman.
Hanya
yang ikhlas dan jujur dalam beragama kerana mengharap redha Allah SWT sahaja
yang dapat selamat dari kedahsyatan fitnah Dajjal.
Sungguh
layak kebimbangan baginda rasul apabila fitnah Dajjal itu bagaikan singa lapar
yang mengeroyak Iman yang nipis seperti kulit bawang.
Kerana
itulah dari Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwassalam telah
mengajar kita agar selalu berdoa dengan sabdaNya :
Maksudnya
: “ Apabila seseorang dari kamu telah bertasyahud maka hendaklah dia membaca
doa memohon perlindungan Allah daripada empat perkara iaitu ya Allah, aku
berlindung denganMu daripada azab jahannam, daripada azab kubur, daripada
fitnah hidup dan selepas mati dan daripada kejahatan fitnah al-masih Dajjal.”
(hadis riwayat Muslim)
Akhir
kata, masihkah anda berasa Dajjal itu tidaklah bahaya dan tidak perlu
dibimbangkan ?
Segala
puji hanyalah bagi Allah SWT.
p/s :
Sila sebarkan demi manfaat umat Islam.






No comments:
Post a Comment